fbpx

Meleraikan Pertelingkahan Suku Mangkaak dan Suku Rumanau.

Cerita tentang Upacara Sumpah Perdamaian di antara suku Rumanau dengan suku Mangkaak yang dilakukan di Tongod. “Saya” dalam artikel ini adalah R.H.W. Beresford-Peirse, iaitu Pegawai Daerah Sandakan pada tahun 1953. Dan berikut adalah terjemahan kepada catatan beliau ketika mendamaikan 2 suku di Kinabatangan.

Lebih 70 tahun yang lalu, berlaku pertelingkahan antara suku Rumanau dengan suku Mangkaak. Kedua-dua suku ini menghuni kawasan Ulu Sungai Kinabatangan, Borneo Utara. Sepanjang konflik, mereka saling berburu kepala dan berbalas menjarah kampung antara satu sama lain.

Apabila sengketa tamat, suku Rumanau mendakwa telah berjaya mendapat 3 kepala orang Mangkahak. Sementara itu Mangkaak cuma memperoleh 1. Beberapa tahun kemudian, kedua belah pihak telah berdamai dan bersepakat saling membayar bangun (gantirugi) sebagai tanda penamatan konflik.

Pertemuan pertama telah diadakan di suatu tempat. Pihak Rumanau telah membayar bangun kepada pihak Mangkaak disusuli dengan upacara sumpah. Batu tempat sumpah dijalankan masih wujud sehingga sekarang (1953). Mengikut adat, giliran suku Mangkaak membayar bangun akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Ia akan diadakan di tempat suku Mangkaak. Malangnya pertemuan kedua yang telah dirancang ini tidak dapat dilakukan, kerana wabak cacar telah melanda suku Rumanau sehingga mengorbankan lebih separuh komunitinya.

Masa berlalu pergi sehingga akhirnya ia dilupakan. Tetapi perkara ini timbul semula pada suatu petang tahun 1951, apabila Gabenor H.E. bersama rombongan yang melawat daerah Kinabatangan disambut di Lamag. Menjelang penghujung acara, seorang lelaki mabuk berbangsa Mangkaak telah dipelawa duduk minum bersama oleh beberapa orang ketua suku Rumanau.

Lelaki Mangkaak itu sebaliknya berkata dia tidak akan terpujuk dengan pelawaan itu, memandangkan ayahnya telah dibunuh oleh mereka. Salah seorang ketua Rumanau telah terdengar dan membalas bahawa kalau begitulah pertimbangan Mangkaak, maka suku Rumanau harus menuntut semula bangun yang sudah lama tidak dilunaskan.

Setahun kemudian, suku Rumanau melakukan tuntutan formal melalui A.D.O. Pada bulan Februari 1953, percubaan untuk mencapai kata sepakat antara kedua belah pihak telah dilakukan. Tetapi suku Mangkahak mohon ditangguh dan diadakan semula pada 2 Mei 1953 bertempat di Tamu Tahunan Tongod. Maka pada 2 Mei pertemuan kedua dilakukan.

Tetapi sesetengah daripada wakil suku Mangkaak belum tiba. Mereka hanya datang ke Tamu pada keesokan hari. Perbicaraan bermula pada pukul 1:30 petang yang berlangsung selama 3 jam.

Saya mengadili perbicaraan ini dan dibantu oleh D.A.D.O. bersama 2 orang panglima serta sebelas orang ketua suku sebagai penasihat dan saksi. Perbicaraan ini disaksikan oleh lebih dua ratus orang kampung yang begitu tekun dan senyap mendengar.

Saya mulakan proseding dengan bertanya kepada wakil Mangkaak sama ada mereka sudah bersedia memberi jawapan berkenaan tuntutan bangun oleh suku Rumanau. Mereka enggan membayar dengan alasan suku Rumanau telah membunuh tiga berbanding Mangkaak cuma 1.

Tetapi wakil Rumanau mendakwa suku Mangkaak juga telah membunuh 3 orang Rumanau, di mana 2 daripadanya telah diracun oleh suku Mangkaak yang meninggal semasa pulang ke rumah.

Perbincangan panjang berlarutan sehingga sampai kepada persoalan jumlah sebenar bangun yang dibayar suku Rumanau. Persoalan ini dijadikan alasan baru oleh wakil Mangkaak yang berkeras tidak mahu membayar bangun.

Sebaliknya wakil Mangkaak mencadangkan bangun ditukar menjadi sogit. Tetapi cadangan ini tidak dipersetujui oleh wakil Rumanau. Jumlah sebenar bangun yang telah dibayar oleh suku Rumanau kepada suku Mangkaak tidak diketahui. Satu-satunya saksi yang ada, masih lagi anak kecil semasa menyaksikan upacara sumpah yang pertama dahulu.

Selepas berbincang, akhirnya wakil Rumanau bersetuju mengurangkan separuh daripada tuntutan bangun mereka seperti berikut:

Gong Tawag-tawag (5)
Tempayan Sabar Lama (2)
Tempayan Sampa (1)
Tempayan Sabar Bahru (1)
Tempayan Kalagiowan (1)
Tempayan Tamau (1)
Tempayan Kalagiowan Merah (2)
Tempayan Angom-angom (1)
Tempayan Limbatan (2)
Gong China (10)
Bujak Lintukan (2)
Sumpitan (2)
Gayang (3)
Keris (2)
Badong (Parang Suluk) (2)
Garunsing (loceng) (1 pasang)
Kuali (2)

Walau bagaimanapun, masalah ini tidak selesai apabila wakil Mangkaak kembali kepada alasan awal. Mereka mendakwa jika terpaksa membayar bangun kepada Rumanau, mereka juga harus mendapat pampasan yang sama, kerana Mangkaak kehilangan lebih banyak nyawa.

Nampaknya sudah sampai masanya untuk menekan kedua belah pihak supaya penyelesaian dapat dicapai. Oleh yang demikian, saya bertegas tidak mempercayai mereka yang asyik berdolak-dalik sepanjang masa.

Akibatnya keadaan menjadi tegang dan menimbulkan protes dari semua orang. Mereka meminta supaya dilakukan satu upacara adat yang dipanggil batugi untuk mengenalpasti pihak mana yang berdalih/berbohong.

Upacara ini memerlukan seorang wakil dari kedua belah pihak merendam tangan ke dalam air panas mendidih tatkala jampi mantera dibaca. Pihak yang tidak terbakar tangannya dianggap bercakap benar.

Walaupun ada seorang doktor bersama kami, tapi saya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Selepas berbincang, saya mendapati ada satu kaedah lain yang sering digunakan dan sama efektif dikenali sebagai bolodop.

Caranya seorang wakil dari kedua belah pihak dikehendaki berendam/menyelam ke dalam sungai setelah upacara memuja semangat dilakukan. Mereka dikehendaki bertahan dalam sungai selama yang boleh. Pihak yang timbul dulu dikira kalah atau berbohong.

Saya mendapati satu-satunya sebab penyelesaian tidak tercapai kerana pertikaian jumlah kematian kedua belah pihak. Selepas ditanya, kedua-duanya bersetuju supaya pihak yang kalah harus membayar bangun seterusnya upacara sumpah dilakukan. Saya juga menjelaskan jika salah satu pihak tidak mengambil bahagian dalam upacara bolodop pada pukul 6 pagi esok, akan dikira kalah. Persetujuan dicapai, perbincangan tamat.

Tepat pukul 6 pagi keesokan hari, ketua suku Mangkaak datang berjumpa saya. Beliau memberitahu pada malam itu mereka telah berbincang dan bersetuju untuk membayar bangun kepada pihak Rumanau pada bulan Julai di Tamu Penangah.

Sejam setengah kemudian, kami menentukan tempat upacara sumpah diadakan. Ia terletak lebih kurang 2 batu ke hilir, di lereng yang mengarah ke tebing tinggi di likuan sungai. Sebelum upacara dimulakan, tempat itu dibersihkan sehingga tanahnya lapang, pancaran matahari tembus dan boleh dilihat dari sungai.

Setelah itu, sebatang kayu belian dipacakkan dan 2 bongkah batu diletak di kedua belah sisi pihak Rumanau dan Mangkaak. Suasana di Tongod sangat tegang, tetapi pada tahap ini perasaan kedua belah pihak semakin jernih.

Kira-kira 15 orang lelaki menjadi wakil dari kedua belah pihak terlibat dalam upacara ini, dan seramai 20 orang kampung turut menyertai kami: (mengikut adat mereka, tiada keperluan untuk semua lelaki dalam kampung menghadiri upacara tersebut).

Kedua belah pihak bersumpah bahawa:
1. Tidak akan bersengketa, hidup aman damai sebagai jiran tetangga.
2. Tidak lagi menbangkitkan soal bangun.
3. Tidak membangkitkan perkara yang boleh mendatangkan pergaduhan antara kedua belah
pihak sama ada melalui pertuturan atau tindakan-tindakan lain.
4. Tidak ada larangan pergaulan antara mereka, perkahwinan campur juga dibenarkan.
5. Pelawat atau tetamu antara kedua belah pihak harus dijaga dan dilayan seperti
saudara sendiri.
6. Taat setia kepada Permaisuri dan Kerajaan England.

Sangat jelas kepada semua bahawa kedua belah pihak bersungguh-sungguh mematuhi setiap sumpah yang mereka lafazkan. Setelah itu wakil kedua belah pihak masing-masing menetak kepala ayam di atas tunggul belian dan merecikkan darah ke segenap ruang
tempat upacara sumpah.

Perdamaian mangkaak rumanau.
Kg. Kiandungo Darat, Kinabatangan, North Borneo (4 Mei, 1953): Perjanjian Damai di antara suku kaum Mangkaak dan Rumanau yang telah dianjurkan oleh pihak British.

Selesai merecik darah, kedua-dua bangkai ayam tersebut digantung. Kemudian mereka saling berjabat tangan penuh akrab sebelum bersalam dengan saya yang menjadi saksi perdamaian.

Saya merasa kesungguhan mereka apabila melihat gurau senda dan tawa bersama, tanda tamatnya permusuhan. Jadi saya pun mudik ke hilir pulang ke Sandakan, sementara mereka pula kembali ke Tongod minum tapai bersama.

R.H.W. BERESFORD-PEIRSE,
(Pegawai Daerah, Sandakan)

(Sumber: Settlement of a Tribal Dispute (North Borneo), Royal Asiatic Society).

4 thoughts on “Meleraikan Pertelingkahan Suku Mangkaak dan Suku Rumanau.

  1. Terima kasih kerana keluarkan tulisan bersejarah ini. Saya adalah waris sah suku Rumanau atau Lobu. Waris Orang Tua (gelaran masa itu) En. Pandikar yg tidak disebut dalam tulisan itu. Mereka yang tidak disebut ini adalah ketua perunding suku Rumanau atau Lobu. Banyak lagi cerita datuk saya OT Pandikar, pakcik saya Ronok Bin Pandikar, Gimbun Bin Pandikar, Mada Bin Tampusis dan ayah saya Palalah Bin Pandikar. Sila cari saya untuk melengkapkan catatan sejarah ini. Handphone saya 0198209200, Kg. Kilo Lanas, daerah kecil Sook, Keningau atau cari saya di Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Aras Bawah, Rumah Persekutuan Keningau, Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *