fbpx

Cara James Brooke Mendapatkan Kuasa Pemerintahan Dari Kesultanan Brunei

Faktor Dalaman Dan Luaran Bagaimana James Brooke Mendapatkan Kuasa Pemerintahan.

India – Kelahiran James Brooke.
James Brooke, anak kepada seorang hakim berbangsa Inggeris bernama Thomas Brooke yang bertugas di Mahkamah Rayuan di Bareilly, British India pada era Victorian(1837).

Dilahirkan pada 29 April 1803 di Bandel, berhampiran Calcutta, Benggal dari ibu berbangsa Scottish, Anna Maria iaitu anak kepada seorang ternama Colonel William Stuart iaitu Lord Biantyre IX.

Ketika berusia 12 tahun James Brooke dihantar ke England untuk mendapat pendidikan di Norwich School dan, setelah berusia 16 tahun pada 1819, James Brooke kembali ke India dan kemudiannya menyertai Bengal Army iaitu salah 1 dari 3 pasukan yang ditubuhkan oleh British East India Company.

James Brooke dalam perkhidmatannya sebagai seorang tentera dari Bengal Army telah menyertai Perang Anglo-Burma I (1824) di Assam di timur laut India. Mengalami kecederaan teruk pada perang tersebut, James Brooke terpaksa dihantar ke England untuk mendapat rawatan pemulihan intensif.

Belum pulih sepenuhnya, James Brooke kemudiannya kembali ke Madras, India pada tahun 1830 untuk menyertai semula perkhidmatan Bengal Army tetapi tidak diserapkan malah diberi wang pencen dengan alasan “terlalu lama bercuti”.

Perjalanan Merentasi Nusantara.
Berbekalkan wang pencen yang diperolehi dari pihak Bengal Army, James Brooke mengambil keputusan untuk pulang ke England menaiki kapal Castle Huntley melalui China kerana ingin medapatkan lagi rawatan lanjutan akibat dari kesan perang di Assam.

Dalam perjalanan menuju ke China, James Brooke tertarik dengan suasana di Kepulauan Melayu atau Nusantara (Malay Archipelago),  dan berazam untuk kembali nanti.

Pada tahun 1833, ayah James Brooke, Thomas Brooke telah meninggal dunia dan mewariskan wang kepada James Brooke sebanyak £30,000 (30 ribu pound) yang mana dengan wang inilah dia membeli sebuah kapal pada tahun 1835 yang dinamakan Royalist.

The Royalist
Royalist (ilustrasi)

Untuk belayar menuju ke Nusantara, James Brooke harus memiliki anggota pasukan terlatih dan untuk misi tersebut, pada penghujung tahun 1836, dia mengambil keputusan untuk melatih mereka di Laut Mediterranean.

Mengambil masa lebih setahun untuk berlatih, dan melakukan persediaan, dan pada 27 Oktober 1838, James Brooke dan krew kapal Royalist belayar menuju ke Nusantara iaitu ke Teluk Marudu, North Borneo (Sabah).

Pertemuan Dengan Pangeran Raja Muda Hashim
Ketika tiba di Singapura pada Julai 1839, James Brooke bertemu dengan beberapa orang pelayar British yang mengalami kerosakan kapal. Ketika mengalami kesulitan tersebut para pelayar British telah dibantu oleh seorang bangsawan dari Kesultanan Brunei iaitu Pangeran Raja Muda Hashim iaitu ayah saudara kepada Sultan Brunei pada masa itu, Sultan Omar Ali Saifuddin II.

Sebagai tanda penghargaan kepada kebaikan Pangeran Raja Muda Hashim, Gabenor British di Singapura, Sir Samuel George Bonham(18 November 1836 – Januari 1843) meminta kepada James Brooke untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada Pangeran Raja Muda Hashim.

Selaku rakyat yang taat setia kepada negara dan Ratu Victoria, dia bersetuju dengan permintaan Sir Samuel George Bonham, dan pada 14 Ogos 1839 James belayar menuju ke barat Borneo.

Pada tahun yang sama juga, James Brooke mendarat di Sarawak yang pada suatu masa nanti akan menjadi negara miliknya sendiri, dan kemudiannya berjaya bertemu dengan Pangeran Raja Muda Hashim.

Perundingan Sulit James Brooke Dengan Pangeran Raja Muda Hashim
Dalam pertemuan dengan Pangeran Raja Muda Hashim, James Brooke diberitahu tentang pemberontakan menentang Sultan Omar Ali Saifuddin II yang dikatakan berpunca dari dasar penindasan oleh Putera Indera Mahkota, anak kepada Sultan Omar Ali Saifuddin Ali II.

Menurut Pangeran Raja Muda Hashim, Putera Indera Mahkota pada mulanya diberi kuasa oleh ayahandanya untuk memonopoli lombong antimoni yang memberi kesan buruk kepada ekonomi masyarakat Melayu, serta kekecewaan dan kemarahan kepada suku Dayak kerana telah menjadi buruh paksa di lombong antimoni selama 10 tahun.

Pangeran Raja Muda Hashim juga menyatakan kepada James bahawa Kesultanan Sambas di Kalimantan dan kerajaan Belanda di timur saling bekerjasama juga mahu mengambil alih aktiviti perlombongan antimoni milik Kesultanan Brunei.

Kegagalan Pangeran Raja Muda Hashim untuk menghentikan pemberontakan memaksanya untuk bertemu dengan bekas kapten bersara, James Brooke dalam usaha mendapatkan bantuan bersyarat iaitu disertai dengan tawaran yang yang lumayan.

Pemberontakan Dihapuskan
James Brooke bersetuju membantu menghapuskan pemberontakan dengan dibantu oleh penduduk pribumi dan dipimpin sendiri olehnya dalam pertempuran, dan sebagai ganjaran dia akan diberi jumlah antimoni yang cukup besar dari lombong dan kuasa di Sungai Sarawak.

Setelah pemberontakan terhenti sementara, James Brooke kembali ke Singapura dan meneruskan lagi pelayarannya selama 6 bulan di Kepulauan Sulawesi sebelum kembali semula ke Sarawak pada 29 Ogos 1840.

Tiba di Sarawak, James Brooke mendapati proses menghukum para pemberontak masih belum dilaksanakan oleh pihak istana Sultan Brunei. Dia mencadangkan kepada supaya pihak istana boleh mengampuni mereka dengan syarat akan menyertai James Brooke (yang pada masa itu telah memiliki penyokong setia di kalangan rakyat tempatan), serta berjanji untuk memberikan kuasa pemerintahan yang terhad kepada pemimpin mereka di peringkat tempatan sahaja.

Berbeza dengan pendirian kerabat diraja sultan, iaitu Pangeran Raja Muda Hashim sebaliknya enggan mengampuni para pemberontak malah mencadangkan untuk menjatuhkan hukuman bunuh sahaja kepada mereka.

Berhadapan situasi tegang, James Brooke dengan bijak mempertikaikan keputusan “1 pihak” dari Pangeran Raja Muda Hashim dengan membangkitkan isu bahawa dia juga turut terlibat dalam penamatan pemberontakan itu dan berhak untuk membuat keputusan terhadap pesalah pemberontak.

Sebagai jaminan kepada pengampunan para pemberontak, James berjanji untuk terus menyokong Kesultanan Brunei dan turut membayar sewa ke atas Kuching, walaupun ia adalah “hadiah miliknya sendiri” yang diperolehi hasil dari bantuannya memberhentikan pemberontakan.

Faktor Paling Utama Bagaimana James Brooke Mendapatkan Kuasa Pemerintahan
Pangeran Raja Muda Hashim yang pada mulanya bersetuju memberikan wilayah kepada James sebagai memenuhi janji ketika perundingan untuk menghapuskan pemberontakan telah dihasut oleh Putera Indera Mahkota agar berfikir dua kali untuk menyerahkan wilayah kepada James Brooke.

Putera Indera Mahkota yang menurut James Brooke dalam catatan peribadinya adalah insan yang bijak dan paling berpotensi yang ditemuinya di Borneo tetapi sering melakukan kesilapan apabila kebijaksanaannya digunakan hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Hasil hasutan Putera Indera Mahkota, putera yang kehilangan kuasa di Kuching oleh James Brooke, mendorong Pangeran Raja Muda Hashim melengahkan usaha penyerahan wilayah kepada James sebagaimana yang dijanjikan.

Menyedari seolah seakan Pangeran Raja Muda Hashim enggan menepati janji, James Brooke dengan kapal layar Royalistnya yang sarat dengan tentera datang menemui Pangeran Raja Muda Hashim di balairung istana untuk merundingkan perjanjian yang telah dipersetujui.

Tidak memiliki pilihan yang banyak dan kesalahan berat yang turut diletakkan pada bahu Putera Indera Mahkota, akhirnya Pangeran Raja Muda Hashim menyerahkan Sarawak kepada James Brooke pada 24 september 1841 (namun belum sepenuhnya diiktiraf oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II sehinggalah Julai 1842, sultan bersetuju dengan pengiktirafan Sarawak adalah milik mutlak James Brooke).

Pemerintahan James Brooke, Dan Konflik Kesultanan Brunei
Peringkat awal tindakan James Brooke ke atas tanah Sarawak yang baru sahaja dimilikinya adalah menggubal dan melaksanakan undang-undang baru iaitu mengharamkan perhambaan, memburu kepala, dan aktiviti perlanunan.

Demi menjaga hubungan baik dengan Kesultanan Brunei, James Brooke mengharapkan satu reformasi pentadbiran sultan dengan menubuhkan pentadbiran ala British melalui Pangeran Raja Muda Hashim dan saudaranya Pangeran Badruddin.

James Brooke melaksanakan niat tersebut dengan memulangkan Pangeran Raja Muda Hashim, dan saudaranya Pangeran Badruddin ke Brunei bersama dengan Edward Belcher Panglima Kapal Diraja HMS Samarang, dan EIC Phlegeton pada Oktober 1843.

Setibanya di Brunei, HMS Semarang berlabuh berdekatan balairung istana Sultan Omar Ali Saifuddin II mereka mengemukakan permintaan untuk menyerahkan jawatan bendahara yang dipegang oleh Pangeran Yusof kepada Pangeran Raja Muda Hashim, dan juga meminta daripada sultan kawasan pajakannya serta akan menyerahkan Labuan kepada British.

Seakan satu amaran halus dari James Brooke, pada Ogos 1845, Panglima  Thomas Cochrane dihantar ke Brunei dengan skuadron 6 sehingga 8 kapal dalam kedudukan yang tersembunyi.

Pada masa yang sama Pangeran Badruddin telah menuduh Pangeran Yusof terlibat dengan aktiviti pemerdagangan hamba berdasarkan hubungannya dengan ketua lanun yang terkenal Sharif Usman di Teluk Marudu, dan Kesultanan Sulu.

Menafikan tuduhan dari Pangeran Badruddin, Pangeran Yusof enggan menghadiri perjumpaan dengan Thomas Cochrane malah melarikan diri setelah terancam dengan Thomas Cochrane sebelum mendapatkan tenteranya di Brunei.

Berjaya melarikan diri dari Thomas Cochrane yang ketika itu melanjutkan perjalanan ke Teluk Marudu untuk memburu Sharif Usman, Pangeran Yusof telah tewas di tangan Pangeran Badruddin dan dihukum bunuh di Kimanis.

Putera Indera Mahkota yang ditangkap pada 1844 dan kembali ke Brunei setahun selepas itu, kini berhadapan dengan satu-satunya musuh dalam perebutan takhta Kesultanan Brunei iaitu Pangeran Raja Muda Hashim.

Kehadiran Putera Indera Mahkota di istana Sultan Omar Ali Saifuddin II tidak disenangi oleh keluarga diraja terutamanya berkenaan hubungan baiknya dengan James Brooke sekaligus dianggap berpihak kepada dasar dari kerajaan British.

Ketika konflik dalaman istana semakin hangat, seorang petualang bernama Haji Saman yang memiliki perkaitan dengan Pangeran Yusof, memainkan peranan dalam mempengaruhi pemikiran sultan terhadap khabar Pangeran Raja Muda Hashim ingin merampas takhta.

Terpengaruh dengan tindakan Haji Saman, sultan pada tahun 1846 memerintahkan pembunuhan Pangeran Raja Muda Hashim, Pangeran Badruddin, serta seluruh ahli keluarga mereka.

Terselamat dari pembunuhan, Japar salah seorang hamba kepada Pangeran Badruddin mencegat kapal HMS Hazard yang membawanya ke Sarawak untuk memaklumkan tragedi pembunuhan kepada James Brooke.

Berang dengan khabar yang dibawa oleh Japar, James Brooke menyusun strategi untuk membalas dendam terhadap kematin Pangeran Muda Hashim dengan menghantar Thomas Cochrane dengan HMS Hazard dengan Phlegethon.

Sebaliknya, Pada 6 Julai 1846, Sultan Omar Ali Saifuddin II, tidak berpuas hati dengan tindakan HMS Hazard lalu menjemput Thomas Cochrane ke ibu kota dengan 2 perahu, dan 2 hari setelah itu pada 8 Julai, Phlegeton dan kapal lain yang sedang mudik ke hulu sungai telah diserang dan mengalami sedikit kerosakan.

Dalam keadaan tegang ini, Putera Indera Mahkota dan Sultan Omar Ali Saifuddin II berundur ke hulu sungai dan ketika mereka tiba di ibu kota Brunei, kebanyakan penduduk di ibu kota telah pun melarikan diri meninggalkan putera sultan, Pangeran Muhammad yang sedang mengalami kecederaan parah, dan seterunya Pangeran Mumin yang secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan keluarga diraja melibatkan diri dengan konflik British.

James Brooke terus melipat kali gandakan pencarian pihak yang terlibat dalam pembunuhan tragis Pangeran Raja Muda Hashim, Pangeran Badruddin, serta keluarga mereka dengan pencarian berterusan sehingga ke pedalaman namun Sultan Omar Ali Saifuddin II, dan Putera Indera Mahkota gagal dijejaki.

Haji Saman turut sama diburu sehingga ke Kimanis tetapi berjaya melarikan diri. James Brooke hanya menemui rumah tidak berpenghuni Haji Saman lalu memusnahkannya.

Tidak berhenti di situ, James Brooke kembali lagi ke Brunei dan memaksa sultan kembali ke ibu kota, dan akhirnya mengaku menyesal membunuh pengiran muda hashim melalui surat permohonan maaf kepada Ratu Victoria.

Melalui suratnya, sultan mengakui autoriti James Brooke ke atas sarawak, dan hak melombong di seluruh wilayah tanpa perlu membayar apa-apa dan akan menyerahkan Labuan kepada British.

James Brooke setelah itu, meninggalkan brunei dengan Pengiran Mumin sebagai petugas bersama dengan Panglima Rodney Mundy untuk memantau sultan dan kerajaan Brunei sehingga kerajaan British membuat keputusan akhir berkenaan penyerahan Labuan.

Tahun 1847, James Brooke meminta sultan untuk menandatangai 1 lagi perjanjian mencegah brunei dari mengadakan apa-apa perjanjian dengan kuasa luar lain terutama setelah melawat USS Constitution pada 1845.

Pada tahun 1852 Sultan Omar Ali Saifuddin II meninggal dunia dan digantikan dengan Pengiran Mumin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *