fbpx

Teks Ucapan Belanjawan Sabah 2019 Oleh Datuk Seri Shafie Apdal 9/11/2018.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Tuan Speaker,
Assalammualaikum w.b.t.
Salam sejahtera.

Dengan segala hormatnya saya mohon membentangkan Bajet Negeri Sabah Tahun 2019 untuk kelulusan dewan yang mulia ini.

Saya merapatkan syukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan izinnya jua saya dapat membentangkan bajet negeri Sabah tahun 2019 dalam dewan yang mulia ini.

Bajet tersebut adalah bajet yang pertama bagi kerajaan yang baru sejak menerajui tampuk pemerintahan di Sabah pada pertengahan tahun ini.

Peralihan kuasa kepada pakatan parti yang memerintah telah memberikan mandat kepada kerajaan hari ini untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah membangunkan Sabah yang kita cintai ini dan mensejahterahkan rakyatnya ke arah membina masa depan yang lebih sempurna.

Tuan Speaker,
Tahun 2018 ini merupakan tahun yang amat bermakna dan bersejarah kepada kita.
Ini kerana rakyat jelata di seluruh negara termasuk Sabah yang inginkan perubahan telah memilih untuk beralih kepada pakatan parti pembangkang yang mendukung pemerintahan yang bersih, adil, saksama, dan berpaksikan rakyat.

Hasrat dan keinginan rakyat pada keseluruhannya untuk membersihkan negara daripada berbagai isu terutama sekali berkaitan masalah rasuah, akauntabiliti, dan ketirisan telah mengakibatkan Barisan Nasional telah memerintah sejak 6 dekad lalu ditolak oleh rakyat.

Hal ini berlaku kerana rakyat mahukan perubahan, iaitu peralihan daripada mentaliti, sikap, dan kebiasaan lama kepada yang baru.

Apa yang jelas rakyat berkehendakkan kerajaan yang bukan sahaja bersih, cekap, dan amanah, tapi juga peka kepada keluhan serta keperluan sebenar rakyat di berbagai lapisan masyarakat yang semakin kompleks dan meningkat.

Rakyat telah menyatakan rasa tidak puas hati kepada segala kepincangan dalam pemerintahan dalam kerajaan dahulu. Oleh itu kerajaan Sabah hari ini berhadapan dengan cabaran besar dalam memastikan harapan rakyat dan janji-janji dalam manifesto dapat direalisasikan dalam tempoh yang munasabah.

Dalam hubungan ini, kerajaan Sabah memikul tanggungjawab dan amanah yang berat di dalam memenuhi aspirasi rakyat yang menginginkan pembangunan, dan meningkatkan taraf hidup dalam suasana mencabar ekoran kenaikan kos sara hidup samada di bandar ataupun luar bandar.

Sungguhpun demikian, kerajaan kini beriltizam untuk membuat yang terbaik dalam melaksanakan perubahan dan penambahbaikan demi kemakmuran dan kehidupan yang lebih baik bagi rakyat Sabah keseluruhannya.

Saya sedar bahawa langkah ini bukan mudah kerana adakalanya tindakan tidak popular terpaksa diambil oleh kerajaan bagi memberi laluan kepada perubahan dan penambahbaikan yang disasarkan.

Hari ini hampir genap 6 bulan kerajaan pimpinan saya memegang tampuk pemerintahan di Sabah. Tempoh 100 hari yang dijanjikan dalam manifesto untuk membuat beberapa langkah perubahan telahpun berlalu.

Bagaimanapun kerajaan telah berusaha melakukan sebaik yang mungkin, namun demikian terdapat juga janji-janji dalam manifesto tersebut yang belum berjaya direalisasikan sepenuhnya ekoran kekangan-kekangan tertentu yang dihadapi misalnya yang berkaitan aspek dasar kewangan dan pengurusan.

Selain itu, terdapat juga perkara-perkara yang memerlukan masa untuk diteliti atau dikaji lebih lanjut sebelum sesuatu keputusan muktamad boleh diambil.

Sungguhpun demikian saya dengan berbesar hati memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa kerajaan telah mencapai beberapa kejayaan di dalam menunaikan janji-janji tersebut.

Selaras dengan manifesto dan hasrat murni untuk memperkasakan modal insan, menjaga kepentingan dan hak-hak anak negeri, serta meningkatkan lagi tahap kesejahteraan rakyat di Sabah, kerajaan kini telahpun melaksanakan janjinya untuk mewujudkan 3 kementerian baru iaitu Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Di samping itu, kerajaan juga telah menyemak semula Dasar Tanah Geran Komunal yang banyak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Beneficiary anak-anak negeri di Sabah.

Kerajaan hari ini telah mengambil keputusan untuk memansuhkan geran komunal dengan matlamat utama menambahbaik pemberian hak tanah kepada anak negeri di Sabah.

Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Ukur akan melaksanakan pembatalan geran-geran komunal tersebut secara berperingkat di seluruh Sabah bermula bulan Disember 2018.

Selepas pembatalan dilaksanakan, tanah-tanah bekas geran komunal itu akan diukur kepada lot-lot yang akan diagihkan kepada Beneficiary anak negeri.

Lot-lot tersebut akan dikeluarkan Geran Anak Negeri (Native Title) dan akan dikenakan syarat-syarat nyatanya yang antaranya seperti berikut dengan izin.

Tuan Speaker,
[“Transfer of this title is prohibited except by inheritance or succession, subdivison and sublease, and charge of this title is prohibited and no right or powers granted by this title shall be transferred by the appointment of power attorney or other means”]

Tuan Speaker,
Sejurus selepas pengambilalihan tampuk pemerintahan, kerajaan hari ini juga telah mengambil beberapa langkah redressal yang dilakukan untuk mengukuhkan pengurusan sumber kewangan negeri. Beberapa projek besar telah dikaji semula dengan tujuan menambah baik pelaksanaan supaya lebih menjimatkan, mengelakkan perjanjian berat sebelah yang akan merugikan kerajaan, mengurangkan ketirisan dan kuasa monopoli bagi memastikan manfaat serta faedah projek benar-benar sampai kepada golongan sasar dan rakyat amnya secara maksimum.

Kerajaan juga telah dan akan berusaha bersungguh-sungguh merundingkan semula beberapa perjanjian lalu bagi memastikan semua urusan tersebut memihak kepada kepentingan awam.

Selain itu kita juga akan meneruskan rundingan dengan kerajaan persekutuan mengenai hak-hak Sabah seperti dalam Perlembagaan, dan Perjanjian Malaysia 1963 atau Malaysian Agreement 1963.

Tuan Speaker,
kerajaan hari ini juga amat mengambil berat dan memberi perhatian serius ke atas laporan yang dikeluarkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change atau IPCC.

Laporan tersebut telah memberi amaran mengenai kesan-kesan buruk perubahan iklim dunia yang bakal terjadi dalam tahun-tahun mendatang.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada bulan Mei tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa pendekatan drastik dan berani dalam usaha melindungi alam sekitar dan mewujudkan ekonomi hijau di Sabah.

Ini termasuklah mengharamkan eksport kayu balak round logs bagi memberikan dan menggalakkan industri hiliran kayu kayan bernilai tinggi di Sabah dan membekukan aktiviti pertanian industri di atas tanah-tanah hutan simpan.

Cara pentadbiran kerajaan Sabah terdahulu menjadi contoh terbaik bagi mengurus sumber-sumber semulajadi yang tidak mampan. Saya menyatakan demikian kerana terlalu banyak tumpuan telah diberikan pengeksploitasian sumber-sumber berkenaan dan terlalu sedikit pula perhatian diberikan ke atas kesan-kesan negatif tindakan tersebut.

Kini rakyat Sabah membayar harga yang tinggi akibat amalan yang tidak berpandangan jauh ke hadapan. Sesetengah komuniti telah menderita akibat masalah banjir yang disebabkan pengurusan landskap yang lemah, manakala setengah-setengah komuniti luar bandar pula telah terpinggir daripada menikmati pembangunan.

Saya menyeru agar rakyat Sabah bersabar kerana pentadbiran kerajaan hari ini sedang berusaha sedaya upaya untuk memperbetulkan kesilapan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

Saya melihat bahawa Sabah mempunyai kapasiti untuk menjadi carbon sink selaras dengan penemuan Laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim kita bernasib baik kerana Sabah masih memiliki kawasan hutan premier yang luas.

Sungguhpun begitu, adalah menjadi hasrat kerajaan hari ini untuk menanam dan menubuhkan lebih banyak kawasan hutan bagi penyediaan habitat yang selamat flora, fauna ikonik kita.

Saya menyedari bahawa Sabah tidak akan dapat melakukan perkara ini persendirian. Oleh itu saya mengalu-alukan penglibatan komuniti global untuk sama-sama berganding bahu dan bekerjasama dalam mengujudkan carbon sink tersebut di Sabah.

Untuk makluman dewan yang mulia ini, Sabah adalah antara tempat yang mempunyai ekosistem tertua di dunia. Kawasan-kawasan yang dilindungi seperti Maliau Basin, dan Danum Valley adalah sebahagian dari kawasan-kawasan terpenting dunia untuk biodiversity tropika berbeza daripada pendekatan pentadbiran terdahulu yang telah menumpukan kawasan yang dilindungi sepenuhnya (Total Protected Area) dengan izin.

Kerajaan hari ini akan menyediakan pelan guna tanah yang akan memenuhi keperluan serampang 2 mata iaitu pembangunan dan juga konservasi.

Tuan Speaker,
saya mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tun Doktor Mahathir Mohammad telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk kali ke 2 dalam era Malaysia Baharu.

Kerajaan negeri menghargai keprihatinan kerajaan pusat dalam menyediakan bantuan kewangan kepada Sabah secara berterusan. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan peruntukan pembangunan 5 Billion Ringgit kepada Sabah untuk tahun 2019.

Peruntukan tersebut melibatkan kenaikan sebanyak 876 Juta berbanding dengan 4.13 Billion Ringgit yang diberikan kepada Sabah dalam tahun 2018.

Peruntukan berkenaan antara lainnya adalah untuk pembinaan dan naik taraf infrastruktur air, elektrik, dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan, pembanguna koridor Sabah, projek lebuhraya Pan Borneo yang diteruskan perlaksanaannya.

Bagaimanapun, memandangkan kita masih ketinggalan jauh dari segi pembangunan, maka sebenarnya masih memerlukan peruntukan yang lebih besar daripada jumlah yang telah diperuntukkan.

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan persekutuan kerana berjaya merangka dasar dan strategi pembangunan sosio-ekonomi yang holistik, progresif, dan berketerangkuman di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 11: 2016 – 2020.

Selain inisiatif untuk meningkatkan keyakinan pelabur, memantapkan kembali kedudukan kewangan, dan menangani isu kritikal seperti hutang negara, strategik rancangan tersebut turut menekankan usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan mempercepatkan lagi pembangunan di Sabah.